CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Monday, May 5, 2008

Gua Niah

Gua Niah yang terletak kira-kira 70 kilometer dari Miri, Sarawak merupakan salah satu daripada kawasan di dalam Taman Negara Niah. Gua itu dikatakan sebagai kawasan penempatan terawal manusia iaitu kira-kira 40,000 tahun dahulu.

Gua seluas kira-kira 10 hektar itu mempunyai ketinggian 75 meter dan merupakan gua batu kapur terbesar di dunia. Dikatakan keluasannya sama seperti 13 padang bola sepak dan ketinggiannya membolehkan bangunan 15 tingkat didirikan di dalam gua itu.

Gua ini mempunyai lapan pintu masuk dan pintu masuk yang terbesar terletak di bahagian barat gua ini. Terdapat beberapa gua lain di dalam gua itu yang mempunyai laluan dan bilik yang luas.

Pada tahun 1950-an dan 1960-an gua ini menjadi tumpuan ahli-ahli arkeologi apabila Kurator Muzium Sarawak pada ketika, Tom Harrison menemui kawasan luas di bahagian utara pintu masuk tersebut.

Pelbagai artifak prasejarah telah dijumpai di dalam gua itu.Bahagian barat Gua Niah merupakan kawasan yang paling kaya dengan kesan sejarah. Ahli-ahli arkeologi menemui tengkorak manusia yang berusia 40,000 tahun di kawasan itu.

Di dalam gua itu juga terdapat kawasan perkuburan Neolitik yang menempatkan 166 tapak pengkebumian.

Pada bahagian lain batu kapur yang berdekatan dengan Gua Niah, yang dikenali sebagai Gua Hitam, lukisan dinding sepanjang 32 meter juga telah dijumpai.
Garisan yang terdapat pada lukisan menggambarkan sebuah bot panjang dan susunan manusia yang sedang menari. Turut dijumpai di gua Kain Hitam tersebut adalah bot-bot lama, tembikar China dan manik kaca.

Gua ini juga merupakan penempatan kelawar dan burung layang-layang yang terbesar. Kedua-dua haiwan ini memberi pulangan ekonomi kepada penduduk setempat.
Sarang burung layang-layang itu amat berharga dan digunakan dalam perubatan tradisional. Sementara tahi kelawar pula dijual untuk digunakan sebagai baja.
Kerja-kerja mencari sarang burung itu sering dilakukan pada bulan Ogos sehingga Disember dan Januari sehingga Mac setiap tahun.

0 comments: