CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Sunday, May 11, 2008

Pak Lomak

PAK LOMAK Oleh Haji Ismail Adnan - Tokoh-tokoh Ternama Negeri Johor (Yayasan Warisan Johor)

Pak Lomak ialah salah seorang pejuang terbilang Johor yang sentiasa diingati kerana sumbangan pentingnya dalam perkembangan ghazal sebagai seni muzik yang menjadi identiti kebudayaan Johor.

Menurut Mohd.Ishak Abdul Aziz dalam tulisannya yang diterbitkan oleh Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan Malaysia pada tahun 1978, Pak Lomak merupakan seorang tokoh yang digelar sebagai Bapa Ghazal Melayu Johor atau Pendeta Ghazal Melayu Johor. Justeru perbincangan tentang perkembangan muzik ghazal Johor tidak lengkap sekiranya tidak dikaitkan dengan nama Pak Lomak.

Sebenarnya sumbangan Pak Lomak dalam pembangunan negeri Johor tidak terbatas dalam perkembangan senimuzik ghazal semata-mata. Beliau juga adalah seorang pegawai tentera yang berdedikasi dalam Pasukan Askar Negeri Johor (Johore Military Force) berpangkat Leftenan Kolonel di bawah pimpinan Seri Paduka Baginda Sultan Ibrahim, pentadbir yang berjaya, penggiat drama bangsawan yang gigih, penulis dan ahli bahasa yang berwibawa. Sehingga akhir hayatnya Pak Lomak adalah Setiausaha Pakatan Bahasa Melayu Persuratan Buku Diraja Johor (PBMPB) di bawah pimpinan Mejar Dato’ Haji Mohd Said Sulaiman.

Jawatan-jawatan lain yang pernah disandang oleh Pak Lomak termasuk Komandan Pasukan Askar Negeri Johor, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor dan Ahli Majlis Menyusun Rang Undang-undang Kawalan Islam Johor.Dalam bidang penulisan, antara hasil karya Pak Lomak termasuk syair-syair yang digubah dengan menggunakan tema berdasarkan bulan-bulan dalam kalendar Islam. Misalnya syair beliau untuk bulan Syawal digubah dalam bentuk Ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri yang kreatif dan menarik.

Pak Lomak atau nama sebenarnya Musa bin Yusof telah dilahirkan pada 2 Mac, 1889. Nama Pak Lomak sebenarnya adalah gelaran yang diberi oleh keluarganya sendiri sebagai mengambil sempena kenalan baik keluarga bangsa Jerman yang bernama Lomax. Beliau merupakan anak saudara kepada Ibrahim bin Mohd. Salleh (Pak Yem) dan cucu kepada Mohd. Salleh b. Perang, Dato’ Bentara Luar yang dikenali sebagai perintis ghazal Melayu Johor.

Oleh yang demikian, dapatlah dikatakan bahawa Pak Lomak adalah pewaris yang melanjutkan kesinambungan perkembangan ghazal di negeri Johor daripada datuknya, tak ubah bagaikan kuah tumpah ke nasi. Dalam hubungan ini, Dato’ Abdullah Mohamed dalam tulisannya The Ghazal in Arabic Literature and in Malay Music (Malaysia in History, Jilid 14, Oktober 1971, Persatuan Sejarah Malaysia) antara lain menyatakan:(Dato’ Bentara Luar) was a man of great versatility. Among his hobbies was music of all sorts….He brought Malay music, including the ghazal, to the area in Johore…Most members of his families of the old Datos in Johore, have retained an interest in music, especially the ghazal. His grandson, the late Colonel Musa of the old Johore Military Force was one of the finest exponents of the ghazal.

Minat Pak Lomak terhadap muzik ghazal amat mendalam. Boleh dikatakan Pak Lomak sanggup pergi kemana sahaja untuk mengetahui lebih banyak lagi hal ehwal dan selok belok muzik ghazal ini. Malah apa sahaja yang dikaitkan dengan muzik dipelajarinya tanpa mengerti erti jemu.

Beliau pernah merantau ke India memperlajari muzik, dan kembali ke negeri Johor dengan membawa bersama-sama pelbagai alat muzik India seperti Tabla dan Harmonium yang disesuaikan penggunaannya ke dalam muzik ghazal Melayu. Tidak ketinggalan juga, Pak Lomak memperlajari cara-cara bermain pelbagai alat muzik di samping belajar menyanyi pelbagai lagu berirama Hindustan, Parsi, Cina, Jepun dan lain-lain lagi.

Dan segala usaha pembelajarannya itu dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Hal ini jelas dapat dilihat dalam melalui tulisan Pak Lomak sendiri yang terungkap di dalam autobiografinya. Dalam autobiografi ini, antara lain Pak Lomak menulis:Berlagu seperti Maulud Melayu, berzanji berqasidah lagu-lagu Arab semuanya itu saya campuri dan permainan bunyi-bunyian dan nyanyian seperti muzik ghazal Melayu, zapin Arab hingga nyanyian dan bunyian Cina dan Jepun itu pun saya campuri juga. Ada juga saya karangkan lagu-lagu joget dan lagu-lagu zapin.

Tetapi lagu-lagu ghazal Melayu yang lebih banyak, menurut rentak senjut secara Hindustan.Segala ilmu pengetahuan, kemahiran dan pengalaman yang terhimpun dalam diri Pak Lomak itu dicurahkan dalam usahanya untuk memperkembangkan muzik ghazal Johor, terutama melalui penubuhan kumpulan-kumpulan ghazal di daerah-daerah seluruh negeri Johor. Sesungguhnya Pak Lomak adalah tokoh yang bertanggungjawab menyebar-luaskan muzik ghazal Melayu sehingga akhirnya muzik ini diterima sebagai salah satu cabang kesenian Melayu yang menjadi hak rakyat dan negeri Johor.

Dalam hubungan ini, usaha menyebarkan muzik ghazal secara meluas ke daerah-daerah ini amat berkesan. Boleh dikatakan di setiap daerah yang menubuhkan kumpulan ghazal, Pak Lomak pernah menjadi pemimpinnya. Usaha Pak Lomak bermula dengan penubuhan ghazal di Johor Bahru pada tahun 1906. Beberapa pembaharuan telah dilakukan dalam kumpulan ghazal ini, termasuk mendendangkan lagu-lagu berirama Parsi dan Hindustan bersama-sama dengan lagu-lagu ghazal Melayu serta penggunaan tabla sebagai alat tambahan yang digunakan dalam persembahan kumpulannya.

Selain itu, Pak Lomak juga pernah memimpin kumpulan ghazal di Muar yang ditubuhkan ketika beliau bertugas sebagai seorang pegawai tentera berpangkat Mejar di dalam Pasukan Askar Negeri Johor yang berpengkalan di Tanjung Ketapang, Muar.Usaha Pak Lomak menubuhkan kumpulan-kumpulan ghazal menyebabkan seni muzik ghazal tersebar luas dan mendapat sambutan hangat daripada masyarakat tempatan.

Hal ini merupakan satu perkembangan yang menarik. Bagi meningkatkan lagi perkembangan muzik ghazal ini, Pak Lomak kemudiannya telah berusaha menyediakan satu wadah galakan dalam bentuk pertandingan ghazal antara daerah-daerah di negeri Johor. Pak Lomak sendiri menggerakkan segala perancangan dan perlaksanaan pertandingan ini, termasuk dari segi menyediakan peraturan pertandingan. Pertandingan ini telah diadakan sekitar tahun 1940 an dan pernah dijalankan di Johor Bahru, Batu Pahat dan Singapura.

Sesungguhnya Pak Lomak adalah seorang pejuang terbilang Johor yang serba boleh dalam pelbagai bidang - penulisan, pentadbiran, pementasan dan ketenteraan. Namun begitu, sumbangan terbesar Pak Lomak terhadap negeri Johor khasnya dan negara amnya adalah dalam bidang muzik ghazal. Jika datuknya Dato’ Bentara Luar dianggap sebagai perintis ghazal Melayu Johor, maka Pak Lomak adalah penerus tradisi yang amat berwibawa sehingga layak dengan gelaran Bapa Ghazal Melayu Johor.

Dalam bidang muzik, Pak Lomak tidak sekadar dapat memainkan pelbagai jenis alat muzik lama dan baru, tetapi juga mencipta lagu-lagu dan sekaligus menyanyikan lagu-lagu tersebut. Lagu-lagu ciptaan Pak Lomak tidak sekadar terhad kepada rentak ghazal sahaja, tetapi meliputi juga lagu-lagu rentak zapin dan joget. Namun begitu, lagu-lagu ghazal lah merupakan ciptaannya yang berkesan, diminati dan terus kekal popular hingga sekarang bagaikan tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas.

Usaha mencipta lagu-lagu ghazal antara lain adalah hasil pertandingan ghazal yang dianjurkannya itu yang telah memberi dorongan kuat untuk terus bergiat dengan lebih aktif di dalam bidang kesenian ini. Antara lagu-lagu ghazal ciptaan Pak Lomak termasuklah Seri Mersing, Musalmah, Embun Menitik, Pak Ngah Balik, Jalak Lenteng, Kuala Sedili, Kuala Mersing, Puteri Ledang, Makan Sirih, Seri Banang, Seri Sedili, Embun Berderai, Teberau Kampung, Fajar Menyingsing, Nari Rendam, Hidup Tak Lama, Seri Muar, Datuk Keramat, Punai Melayang, Gunung Banang, Tanjung Malim dan Seri Pontian.

Sebagai kesimpulan, dapatlah diringkaskan bahawa Pak Lomak merupakan seorang tokoh pejuang Johor yang mengangkat martabat negeri ini melalui kesenian, khususnya ghazal Melayu yang amat terkenal itu.”Pak Lomak adalah ghazal dan ghazal adalah Pak Lomak” bukan merupakan ungkapan yang asing apabila merujuk peribadi tokoh penting ini. Pak Lomak telah menyebatikan dirinya dengan muzik Ghazal dan meletakkannya menjadi identiti kebudayaan Johor melalui usaha-usaha berikut:

* Mencipta lagu-lagu ghazal berkualiti, terus terkenal dan berkekalan.
* Menyebarkan perkembangan ghazal secara luas meliputi daerah-daerah seluruh negeri Johor melalui penubuhan kumpulan-kumpulan ghazal di peringkat daerah.
* Memantapkan persembahan ghazal dengan cara menambahkan bilangan alat-alat muzik yang digunakan dalam kumpulan ghazal termasuk alat-alat moden dan traditionaldan
* Memodenkan corak persembahan muzik ghazal dengan memasukkan lagu-lagu berirama Hidustan dan Parsi dalam persembahan di samping mengubahsuai penggunaan alat muzik, misalnya gambus menggantikan sitar.

Komitmen Pak Lomak terhadap semi muzik ghazal begitu mendalam sekali. Minatnya tidak pernah luntur, kecintaannya tidak pernah pudar dan keyakinannya tidak pernah tergugat. Beliau telah menghabiskan usianya mengabdikan dirinya mengembangkan muzik ghazal Melayu ini secara berterusan. Pak Lomak terus menyemarakkan muzik ghazal hingga ke akhir hayatnya. Beliau telah menghembuskan nafas terakhirnya pada 30 Jun 1960 ketika mengadakan persembahan muzik ghazal di kediaman Ungku Moksin di hadapan para tetamu termasuk yang datang dari Amerika Syarikat. Usia Pak Lomak ketika itu ialah 79 tahun.

Profil Panjang dan Profil Rentas Sungai

●Aliran sungai dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu:
(a) Hulu
(b)Tengah
(c)Hilir

●Tindakan sungai pula dibahagikan kepada proses iaitu:
(a)Hakisan
(b)Angkutan
(c)Pemendapan

■ Peringkat hulu sungai mengalami proses hakisan manakala bahagian tengah sungai mengalami proses hakisan dan pemendapan.

■ Peringkat hilir sungai yang beraliran perlahan mengalami proses pemendapan.

■ Profil panjang sungai ialah bentuk keseluruhan aliran sungai daripada puncanya di bahagian hulu hingga ke muara.Air Terjun terbentuk apabila air sungai mengalir turun dari aras yang tinggi secara tiba-tiba.Likuan Sungai terbentuk apabila sungai mengalir perlahan dan berkeluk.Hakisan di tebing liku cekung sungai membentuk tebing tinggi dan curam.Pemendapan di tebing liku cekung membentuk tebing landai.Hakisan tebing sungai yang berterusan menyebabkan segenting sempit terbentuk.Segenting ini terputus semasa banjir dan liku terpenggal terbentuk.

■ Profil rentas sungai pula merujuk bentuk lurah sungai pada setiap peringkat.Apabila liku sungai terpisah daripada sungai utama,tasik ladam terbentuk.Pemendapan di bahagian muara sungai yang berterusan membentuk delta.

☻Bahagian hulu:
1.Lurah sungai berbentuk ‘V’ dan bercerun curam.
2.Sungai mengalami hakisan menegak.
3.Bentuk muka bumi-jeram, air terjun dan lubuk.

Saturday, May 10, 2008

Misteri Nusantara[ TOYOL ]

Mata Di Langit

Mata di langit

Wednesday, May 7, 2008

Onn Jaafar


Dato' Onn Jaafar ketika muda


Dato Onn Jaafar (12 Februari 1895 - 19 Januari 1962). Beliau ialah pengasas dan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO). Beliau dilantik sebagai Menteri Besar Johor pada 1 Oktober 1946 tetapi tiga tahun kemudian, meletakkan jawatan untuk menumpukan perhatiannya kepada UMNO.Jadual isi kandungan

1 Kehidupan awal
2 Kerjaya politik
3 Garis masa
4 Lihat juga
5 Rujukan


Kehidupan awal

Dilahirkan di Bukit Gambir, Muar, Johor, Dato Onn ialah anak kepada Datuk Jaafar bin Haji Muhammad, Menteri Besar Johor yang pertama. Seorang kerabat diraja Johor, beliau dipelihara oleh Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar sejak kecil, dan mendapat pendidikan Melayu sebelum melanjutkan pelajarannya di England.Dato Onn bekerja sebagai wartawan pada tahun 1930 ketika berumur 35 tahun, dan pada tahun 1934, menjadi pengarang Lembaga Malaya dan Harian Lembaga. Disamping itu, beliau juga pernah menjadi ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor. Semasa zaman Pendudukan Jepun, Dato Onn menjadi Ketua Pejabat Kawalan Makanan Negeri Johor.


Kerjaya politik

Dato Onn pernah bertugas sebagai Pegawai Daerah dalam pentadbiran penjajah British, tetapi kemudian berhenti kerana membantah dasar-dasar jajahan.Pada 1 - 4 Mac 1946, 41 buah persatuan Melayu telah berhimpun di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur untuk menghadiri Kongres Melayu pertama yang diadakan untuk menentang Malayan Union yang diperlihatkan sebagai ancaman terhadap hak istimewa orang Melayu dan kedudukan sultan-sultan Melayu. Hasil daripada mesyuarat ini, sebuah badan yang mewakili orang Melayu telah ditubuhkan ketika Kongres ketiga diadakan di Johor Bahru pada 1 Mei 1946. Disebabkan Dato Onn amat aktif dalam gerakan nasionalisme Melayu, kongres itu melantik beliau sebagai presiden pertama.Pada 1 Oktober 1946, Datuk Onn dilantik menjadi Menteri Besar Johor. Tiga tahun kemudian, beliau meletakkan jawatan untuk menumpukan masanya kepada UMNO. Di bawah kepimpinannya, UMNO berjaya memaksa kerajaan British untuk membubarkan Malayan Union dan diganti dengan Persekutuan Tanah Melayu. Persekutuan Tanah Melayu 1948 mengekalkan kedudukan Raja-raja Melayu dan memperketatkan syarat-syarat kerakyatan, serta memberi hak istimewa Melayu.Datuk Onn kemudian berasa kecewa dengan apa yang beliau menganggap sebagai dasar-dasar perkauman UMNO, dan mencadangkan bahawa keahlian parti dibuka kepada semua penduduk Tanah Melayu, tanpa mengira kaum, dan nama UMNO ditukarkan menjadi "Pertubuhan Kebangsaan Penduduk Tanah Melayu Bersatu". Oleh sebab cadangan itu ditentangkan, Dato Onn meletakkan jawatan sebagai presiden UMNO apabila persidangan Majlis Mesyuarat Agung Keenam diadakan pada 25 - 26 Ogos 1951.Dato Onn kemudian menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) pada 26 Ogos, 1951. Malangnya, parti tersebut tidak mendapat sokongan daripada orang Melayu. Pada tahun 1954, beliau meninggalkan parti itu untuk menubuhkan Parti Negara bagi tujuan bertanding dalam pilihan raya umum yang pertama di Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1955. Parti Negara menyekatkan keahlian bukan orang Melayu dalam satu percubaan untuk memperoleh sokongan daripada orang-orang Melayu. Walaupun demikian, partinya masih gagal mendapat sokongan dan tidak memenangi sebarang kerusi dalam pilihan raya itu. Bagaimanapun, Dato Onn masih berusaha untuk mendapatkan tempat dalam politik. Akhirnya, beliau berjaya mendapat satu kerusi di kawasan parlimen Kuala Terengganu Selatan dalam Pilihan Raya Umum 1959.Dato Onn Jaafar mendirikan rumah tangga bersama Datin Halimah Hussein, dan salah seorang daripada anak mereka ialah Allahyarham Tun Hussein bin Dato' Onn. Beliau meninggal dunia pada tahun 19 Januari 1962 dan dikebumikan di Makam Mahmoodiah, Johor Bahru, Johor.

Garis masa· 1895: Dilahirkan di Bukit Gambir, Johor Bahru .· 1901 Menjadi anak angkat Sultan Ibrahim dan menghabiskan masa di Istana Johor. Belajar bahasa Inggeris dengan wanita Inggeris.· 1902 Ibunya Rugayah meninggal dunia· 1903 Belajar di Alderburgh Lodge School, Suffolk, England . Dia ke sana sebagai pengiring putera-putera Sultan Johor.· 1910 25 Mac kembali ke Johor dengan perawakan Barat.· 1910-1911 Belajar di di Maktab Melayu Kuala Kangsar agar 'diMelayukan'.· 1911 Kerani sambilan di Jabatan Setiausaha Kerajaan Johor .· 1911 Berkahwin kali pertama Rafeah Abdullah ( gadis Cina, anak angkat bapanya).Mendapat 4 anak dan isterinya meninggal dunia.·
1915 Berkahwin kali ke-2 dengan Che Jamilah dan mendapat anak - Ismail bin Onn. Isterinya meninggal dunia.· Berkahwin kali ke-3 dengan Che Kah, seorang pelakon Bangsawan.· 1917 Menyertai Pasukan Tentera Johor dan ditempatkan di Pulau Belakang Mati, Singapura- markas JMF. Pangkat Leftenan.· 1919 Berkahwin kali ke-4 dengan Halimah Hussein , janda adiknya.Mendapat 3 anak termasuk Hussein Onn1920 Bekerja semula di Pejabat Pnasihat Johor tetapi dipecat oleh Sultan Ibrahim pada 31 Jun 1920 kerana membidas baginda tanpa berselindung berkaitan isu harta.· 1922 Diterima bekerja semula sebagai penolong pegawai di Pejabat Tanah Johor kerana pujukan Tengku Ismail.· 1923 Pegawai di Pejabat Tanah Muar· 1924 Penolong Pemungut Hasil Tanah Muar dengan gaji RM1440.00.· 1927 Pindah ke Johor Bahru dengan jawatan yang sama. Pegawai British menahan elaun RM200.00 setahun, tidak diberi motokar kerajaan dan tidak disediakan rumah kerajaan sedangkan pegawai British mendapat pelbagai kemudahan.· 1927-1936 Dibuang negeri ke Singapura oleh Sultan Ibrahim kerana menyiarkan berita Sultan Ibrahim memperalatkan JMF sebagai buruh paksa dalam akhbar Sunday Mirror.
Sultan Ibrahim membina padang lumba kuda dan membuka ladang di Pagoh, Tasek Utara dan Pasir Pelangi menggunakan JMF.· 1930-1936 (umur 35): Bertugas sebagai wartawan akhbar-akhbar Melayu di Singapura· 1934 (umur 39): Menjadi pengarang Lembaga Malaya dan harian Lembaga.· 1936-1941 Menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Johor· 19421945: Menjadi Ketua Pejabat Kawalan Makanan Negeri Johor· 1945-1946 Menjadi Pegawai Daerah Batu Pahat· 1946-1949 Memimpin Pergerakan Melayu Semenanjung, Johor.· 1946 Menganjurkan Kongres Melayu 1946· 1946-1951 (umur 51): Menubuhkan UMNO dan menjadi presidennya yang pertama. Beliau dilantik sebagai Menteri Besar Johor pada 1 Oktober.· 1949 (umur 54): Meletakkan jawatan Menteri Besar Johor dan menumpukan kepada UMNO.· 1951 Pengerusi Rural and Industrial Development Authority (RIDA).· 1951 (umur 56): Cadangan membuka keahlian UMNO kepada semua kaum telah ditolak. Maka Dato' Onn meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO dalam persidangan Majlis Mesyuarat Agung Keenam pada 25 dan 26 Ogos 1951.· 1951 Menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP).· 1954 (umur 59): Menubuhkan Parti Negara mengganti Parti Kemerdekaan Malaya. Tujuan penubuhan parti tersebut adalah untuk bertanding dalam pilihan raya umum yang pertama pada tahun 1955.· 1955 Kalah dalam Pilihan raya Persekutuan 1955· 1959 Ahli Dewan Rakyat - sebagai anggota pembangkang· 1959 (umur 64): Mendapat satu kerusi di kawasan Parlimen Kuala Terengganu Selatan dalam pilihan raya Persekutuan.· 1962 (umur 67): Meninggal dunia dan dikebumikan di Makam Mahmoddiah Johor Bahru.

Monday, May 5, 2008

Gua Niah

Gua Niah yang terletak kira-kira 70 kilometer dari Miri, Sarawak merupakan salah satu daripada kawasan di dalam Taman Negara Niah. Gua itu dikatakan sebagai kawasan penempatan terawal manusia iaitu kira-kira 40,000 tahun dahulu.

Gua seluas kira-kira 10 hektar itu mempunyai ketinggian 75 meter dan merupakan gua batu kapur terbesar di dunia. Dikatakan keluasannya sama seperti 13 padang bola sepak dan ketinggiannya membolehkan bangunan 15 tingkat didirikan di dalam gua itu.

Gua ini mempunyai lapan pintu masuk dan pintu masuk yang terbesar terletak di bahagian barat gua ini. Terdapat beberapa gua lain di dalam gua itu yang mempunyai laluan dan bilik yang luas.

Pada tahun 1950-an dan 1960-an gua ini menjadi tumpuan ahli-ahli arkeologi apabila Kurator Muzium Sarawak pada ketika, Tom Harrison menemui kawasan luas di bahagian utara pintu masuk tersebut.

Pelbagai artifak prasejarah telah dijumpai di dalam gua itu.Bahagian barat Gua Niah merupakan kawasan yang paling kaya dengan kesan sejarah. Ahli-ahli arkeologi menemui tengkorak manusia yang berusia 40,000 tahun di kawasan itu.

Di dalam gua itu juga terdapat kawasan perkuburan Neolitik yang menempatkan 166 tapak pengkebumian.

Pada bahagian lain batu kapur yang berdekatan dengan Gua Niah, yang dikenali sebagai Gua Hitam, lukisan dinding sepanjang 32 meter juga telah dijumpai.
Garisan yang terdapat pada lukisan menggambarkan sebuah bot panjang dan susunan manusia yang sedang menari. Turut dijumpai di gua Kain Hitam tersebut adalah bot-bot lama, tembikar China dan manik kaca.

Gua ini juga merupakan penempatan kelawar dan burung layang-layang yang terbesar. Kedua-dua haiwan ini memberi pulangan ekonomi kepada penduduk setempat.
Sarang burung layang-layang itu amat berharga dan digunakan dalam perubatan tradisional. Sementara tahi kelawar pula dijual untuk digunakan sebagai baja.
Kerja-kerja mencari sarang burung itu sering dilakukan pada bulan Ogos sehingga Disember dan Januari sehingga Mac setiap tahun.